Friday, February 19, 2010

Menjaga atau Mendidik

Anakku yang sulung, Sharifah Elya Natasha, 5 tahun
Menjaga anak tidaklah terlalu sukar. Selagi ada kudrat, selagi itu dapat dijaga anak-anak. Tetapi, apa yg sangat sukar adalah mendidik anak.

Mungkin ada yang bertanya, “Apa kebenda ko ni. Apa beza pulak 'jaga' dengan 'didik'? Kan ke menjaga tu mendidik dan mendidik itu menjaga?”

Pada aku, ia adalah 2 benda yang berlainan. Yang satu sekadar menjaga makan dan minum, tempat tinggal dan seumpamanya. Ia tidak lebih sepertimana binatang menjaga anaknya, demikian juga manusia.

Adapun mendidik, ia lebih kepada satu objektif iaitu menjadikan anak-anak seorang yang berilmu yang dapat menjadi asset hidup mereka. Dengan didikan inilah, ia akan mencorak hidup seorang insan. Samada ia menjadi seorang insan yang berjaya, beriman dan berakhlak atau sebaliknya, ia tergantung kepada didikan ibubapa kepada anak-anak mereka sendiri…….. Inilah yang membezakan antara manusia yang dijadikan Allah sebaik-baik ciptaan dengan makhluk-makhlukNya yang lain.

Aku baru selesai membaca sebuah buku tulisan Badrul Hisham Shari yang bertajuk ‘I Love You Too!!’ Buku yang ditulis dengan cara santai dan disertakan karikatur, mengajak pembaca menelusuri hidup rumah tangga, khususnya dari sudut pandang Ibu dan Bapa. Di dalamnya dimasukkan senario masyarakat Malaysia dalam hidup berumah-tangga.

Beli di sini: http://www.eashoppingcentre.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=650


Aku tertarik dengan beberapa perkara di dalam buku berkenaan di antaranya penulis memperkatakan kepentingan ilmu yakni pendidikan agama bakal suami isteri. Apabila mereka melangkah ke alam perkahwinan, maka pelbagai cabaran dan dugaan akan mereka hadapi. Kalau yang sudah berumah-tangga sebelumnya, pasti pengalaman dapat membantu. Tetapi bagi yang pertama kali menjadi suami isteri, pada ketika inilah, iman dan ilmu memainkan peranan.

Maka bertebaranlah mereka mencari bantuan, yang selalu menjadi sasaran pertama kedai-kedai buku. Mereka akan mencari buku-buku berkenaan rumahtangga… Dari satu sudut, baguslah kerana ada usaha untuk memperbaiki diri dan keluarga. Tapi yang menjadi masalah, apabila buku yang dibeli dan dijadikan rujukan bukanlah bersumberkan agama Islam kita. Ya, tidak salah mendapatkan buku-buku seperti itu, tetapi menjadi buku tersebut sebagai rujukan primer boleh mendatangkan musibah yang lebih besar. Ini kerana konsep dan matlamat perkahwinan itu sangat jauh dengan Islam. Di dalamnya tidak diterangkan halal haram, pahala dosa dan seumpamanya.

Antara lain yang diperkatakan oleh penulis adalah perihal 'transfer tanggungjawab'. Pelbagai tanggungjawab ditransferkan kepada pelabgai pihak. Pendidikan seolah-olah menyerahkan urusan sepenuhnya kepada guru-guru. Ada juga yang menyerahkan kepada peti tv semata-mata. Makan minum dan lain-lain diserahkan pula kepada pembantu rumah.... dan macam-macam lagi. Jadi jangan terkejut kalau anak kita boleh berbicara dengan fasih dan dalam Bahasa Indonesia....

Apapun, setiap insan itu ada tanggungjawabnya terhadap sang Penciptanya, yakni Allah Azza wa Jalla. Tanggungjawab yang sememangnya menjadi kewajipan setiap insan yang mengaku Islam. Sekiranya kita sedar akan tanggungjawab ini, nescara kita akan mengorak langkah ke arah perlaksanaan tanggungjawab tersebut…

Sekarang, tanyakan kepada diri kita sendiri, “Apakah kau, wahai Aku, telah menunaikan tanggungjawabmu terhadap Allah?!!!”

No comments:

Post a Comment