Sunday, February 21, 2010

Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni

Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni, adalah salah seorang ulama’ kontemporari yang tidak asing lagi. Siapa tidak mengenal beliau yang merupakan penulis kepada karya monumental, La Tahzan….. Bahkan tidak salah jika aku katakan, bahawa buku ‘La Tahzan’nya ini yang membawa beliau ke muka dunia. Buku tersebut yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa telah menjadikan beliau terkenal di mata dunia.

Di Malaysia, bermula dari karya ‘Best Seller’ inilah, pelbagai buku beliau diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. Sepertimana buku ‘La Tahzan’, buku-buku lain juga tidak kurang hebatnya. Olahan bahasa (bergantung kepada penterjemah juga) membuatkan pembaca pasti akan terpaku dengannya. Terpesona dengan tarian bahasa yang digunakannya… Mesej-mesejnya yang cukup bermakna memenuhi setiap muka tulisannya…


Minatku terhadap karyanya, membuatkan aku tidak kedekut untuk membeli buku-bukunya. Tidak sedikit juga telah aku belanjakan untuk mendapatkan buku-buku beliau. Kerana minatku terhadap Dr Aid Al-Qarni ini, aku telah membeli dan membaca buku bertajuk ‘Biografi Dr Aid Abdullah al-Qarni’ yang di tulis oleh Ahmad Ibnu Fallah. Aku menyarankan agar peminat-peminat ilmu membeli buku ini bagi mengenali beliau dengan lebih dekat.

Sebagaimana ahli ilmu yang lain, Dr Aidh Abdullah al-Qarni juga tidak terlepas dari terkena kritikan-kritikan tajam dari pelbagai pihak. Beliau yang juga pendakwah sunnah, juga tidak disenangi oleh segelintir puak salafi. Walaubagaimanapun, buku biografi ini boleh menjernihkan air yang keruh. Di dalamnya dinyatakan aqidah dan pegangan beliau. Di samping itu, beliau menghafaz al-Qur’an sejak kecil dan menghafal lebih 5000 hadis dan 10000 bait-bait syair…..

Antara buku lain yang memberi kesan terhadap diriku (dan aku sarankan anda memiliki dan membacanya) adalah ‘Sakaratul Maut, Bersediakah Anda Menghadapinya?’ yang diterjemahkan dari kitab arab yang berjudul ‘Wa jaa sakaratul maut alhaq’. Di dalamnya terkandung ilmu yang sangat memberi kesan terhadap jiwa….


Selain itu, ada satu buku yang mana, Dr Aidh Abdullah al-Qarni memberikan kita petunjuk dalam menuntut ilmu. Beliau telah membahaskan bab ilmu dengan baik sekali. Dan di dalamnya juga, beliau memasukkan senarai kitab-kitab yang seharusnya dipelajari. Senarai berkenaan dikategorikan berdasarkan disiplinnya. Dan kebanyakan kitab yang disenaraikan, beliau nyatakan pula sudut positif dan negatif kitab berkenaan. Buku yang aku maksudkan adalah ‘Bacalah Atas Nama Tuhanmu’

Banyak lagi buku-buku beliau yang sangat baik. Tidak tersenarai olehku di sini. Lawatilah kedai-kedai buku, pasti engkau akan ketemukan buku-buku beliau….. Di dalam setiap bukunya terkandung peti khazanah ilmu yang hanya menanti saat engkau membuka peti itu…..

Kepada engkau, wahai Dr Aidh Abdullah al-Qarni, semoga Allah merahmatimu dan memberkati segala usaha agamamu ini. Ameen…

NOTA: SEMUA BUKU DI ATAS BOLEH DI BELI DARIPADA E&A DENGAN HANYA EMEL KE ea_book_centre@yahoo.com.my atau sms 0193433532

No comments:

Post a Comment