Tuesday, June 29, 2010

BERPASUKAN ATAU BERSENDIRIAN?!!!

Piala Dunia dah pun memasuki pusingan kalah mati. Boleh dikatakan 50% permainan setakat ini aku tengok secara live. Aku akan memaksimakan tontonan bola sepak kali ini sebab aku telah menaik taraf langganan Astro aku semata-mata kerana Piala Dunia ini (sebelum ni tak langgan channel sukan pun).
Tapi, dalam posting aku kali ini, aku tak berminat untuk membahas atau memberi komentar mengenai permainan yang telah berlangsung itu. Tetapi aku ingin kongsikan sesuatu yang boleh kita ambil iktibar/pengajaran daripada Piala Dunia ini…. 'teamwork'.

Aku melihat pasukan yang hebat, mempunyai semangat kerja berpasukan yang sangat mengagumkan. Mereka secara individu sangat 'skillful', tetapi mereka tidak bergerak secara sendirian. Mereka tidak tamak dalam meraih kejayaan dan kemenangan. Dan mereka hadapi kegagalan dan kekalahan secara berpasukan. Apabila salah seorang di antara mereka menjaringkan gol mereka meraikannya bersama-sama.

Baru-baru, perlawanan antara Germany dan England yang berlangsung pada 27 Jun membuktikan kesan bergerak secara berpasukan. Apabila ada pemain yang berdepan 'one on one' dengan penjaga gol, ia tetap memberikan bola itu kepada rakan sepasukannya. Kalau difikirkan, tendang sajalah bola itu ke gawang lawan. Jika bernasib baik, gol menjadi habuan, nama menjadi harum. Manakan tidak, nama penjaring gol akan terukir di kaca tv dan akhbar2 sedunia, tapi jarang penyebab kepada gol itu dijadikan hero. Tetapi hakikatnya tidak berlaku seperti itu. Beliau melihat lebih daripada keharuman namanya.

Demikian kita dalam kehidupan kerjaya kita. 'Teamwork' merupakan elemen yang penting. Dalam gerak kerja secara berpasukan, setiap ahli memainkan peranannya. Ia bukan mengenai diri kita sendiri. Tetapi ia lebih kepada keKITAan, bukannya keAKUan. Kejayaan yang ingin dicapai dilihat sebagai kejayaan pasukan, bukan kejayaan individu.

Kita bekerjasama dan tolong-menolong dalam semua hal yang membawa kebaikan. Kita kecapi kejayaan bersama. Kita memikul bebanan bersama-sama. Kita harungi rintangan seiringan. Kita rasai kegagalan bersama. Semuanya KITA, KITA dan KITA. Aku dan engkau, bersama kita satu pasukan.

Apabila engkau kesusahan atau perlukan bantuan, yang lain akan hulurkan tangan. Tanpa mengira batasan kerja yang diberikan, kita tetap membantu meskipun ia diluar tanggungjawab khusus kita. Kerana kita percaya, untuk mencapai kejayaan, tidak dapat tidak, kita perlu keluar dari apa yang kita kenali sebagai 'comfort zone'.

Berkata sahabat Nabi saw tika mereka berada di tepi pantai, "Sekiranya aku tahu di seberang sana ada daratan, akan aku renangi dan aku tegakkan panji-panji Islam di sana." Renungilah kata-kata ini. Pada masa Islam telahpun bertapak di Tanah Arab dengan gemilangnya, mereka tetap tidak putus untuk menyebarkan lebih dari itu. Meskipun mereka telah selesa (comfort zone), mereka tidak tenggelam dengan keselesaan itu. Apakah kita mampu mencontohi mereka?!!!

Wednesday, June 2, 2010

AKIKAH

MUKADDIMAH

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له.
وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ} [آل عمران 102].
{يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاء وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا} [النساء 1].
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا. يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا} [الأحزاب 70-71].
أما بعد:
Kami bersyukur ke hadrat Allah di atas nikmat Islam dan iman yang telah Dia kurniakan kepada kami. Tidak ada tempat untuk diucapkan syukur secara mutlak melainkan kepadaNya, Azza wa Jalla.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin sekalian kerana sudi datang untuk memeriahkan kenduri nasikah[1]. Sungguh menyambut kelahiran anak sulung kami, merupakan satu detik yang cukup menggembirakan kami. Meskipun pelbagai dugaan yang perlu diharungi khususnya si ibu, Alhamdulillah segalanya telah selamat.

Setelah menyambut kelahiran, tibalah masanya untuk menunaikan tuntutan agama iaitu nasikah. Meskipun ia bukanlah wajib, sebagai hamba Allah yang serba lemah, kita tunduk kepada perintahNya yang disampaikan melalui Nabi kita Muhammad saw.

Saya mengambil peluang ini, untuk berkongsi sedikit perihal kajian saya berkaitan nasikah yang telah saya lakukan dalam usaha melaksanakan nasikah sesuai dengan apa yang termaktub dalam nas-nas dan juga qaul ulama’ yang dipercayai.

Artikel ini bolehlah sedikit sebanyak menjadi satu garis panduan yang saya rasa ada baiknya kita menelitinya. Sungguh, satu-satu amalan itu akan menjadi lebih baik kiranya kita mengetahui dalil-dalil serta hukum berkaitannya.

Dengan usaha yang kecil ini, kami benar-benar berharap agar amalan kami diterima Allah swt.


Syed Edlee Harith
g@y@t
Taman Melewar, Gombak
Sabtu, 4 Jun 2005
Hukum Nasikah

Nasikah disyariatkan dalam Islam berdasarkan kepada beberapa dalil hadis. Salah satunya adalah:

Daripada Salman bn Amir ad-Dhobbi ra katanya bahawa Rasulullah saw bersabda, “Hak seorang anak adalah aqiqah, sembelihlah haiwan untuknya dan buangkanlah segala kesakitannya.”[Hadis sahih diriwayatkan oleh Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain]

Adapun mengenai hukumnya, para ulama’ berbeza pendapat. Dr Mariam Ibrahim Hindi dalam kitabnya al-Aqiqah fi al-Fiqh al-Islami telah menghimpunkan 3 pendapat iaitu wajib, sunat dan makruh[2]. Namun, saya tidak bertujuan untuk membahaskannya di sini kerana ia memerlukan ruang yang lebih besar. Cukuplah saya melampirkan qaul mazhab Syafi’i.

Dalam kitab Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’I dinyatakan bahawa hukum nasikah adalah sunat muakkad. Dalilnya adalah sepertimana dikemukakan sebelum ini.

Binatang Nasikah

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam kitab al-fiqh al-Islami wa Adilatuhu Juz 3 mengatakan bahawa binatang aqiqah adalah sama seperti binatang korban iaitu binatang an’am(ternakan).

Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa binatang aqiqah hanyalah kerana Nabi saw hanya menyembelih kambing sahaja. Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya fathul Bari jil 9. Dalilnya:

Daripada Ummi Kurz dan Abu Kurz, mereka berkata, “Seorang perempuan daripada keluarga Abdul Rahman bin Abu Bakr telah bernazar akan membuat nasikah dengan unta jika melahirkan anak. Aishah ra berkata, “Bukan! Bahkan paling baik yang menepati sunnah iaitu anak lelaki 2 ekor kambing yang sepadan dan bagi anak perempuan seekor kambing.””[Hadis diriwayatkan oleh al-Hakim dan dihasankan olehnya]

Walaubagaimanapun, jumhur fuqaha’ mengatakan boleh juga menyembelih selain kambing berdasarkan kepada dalil berikut:

Daripada Anas ra dengan sanad yang hasan, “Beraqiqah untuk anak dengan unta, lembu dan kambing.”[Dikeluarkan oleh Tabrani]

Adapun mengenai bilangan kambing itu, fuqaha syafi’iyyah berpendapat bahawa bagi anak lelaki, 2 ekor kambing manakala bagi anak perempuan seekor sahaja. Dalilnya seperti hadis al-Hakim di atas.

Waktu Nasikah

Disunatkan menyembelih nasikah setelah keluarnya bayi dengan sempurna daripada perut ibu. Dan ini berterusan sehingga balighnya bayi itu.

Namun, sunat yang dituntut adalah dilakukan pada hari ketujuh berdalilkan hadis berikut:

Daripada Samrah ra katanya bahawa Rasululah saw bersabda, “Bayi itu ditebus oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya.”[Hadis sahih riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain]

Salim Ali Rasyid al-Syubli dalam buku yang diterjemahkan ke tajuk ‘Hukum Menyambut Kelahiran Zuriat Menurut Sunnah Rasulullah saw’ berpendapat waktu yang paling afdhal melakukan penyembelihan adalah pada hari ketujuh tanpa menunda ke hari lain dan wajib hukumnya menyegerakan aqiqah jika mempunyai kemampuan.

Hukum Daging dan Kulit

Daging hendaklah dimakan dan disedekahkan. Tidak boleh dijual walaupun sedikit.

Fuqaha Syafi’iyyah mengatakan bahawa tidak makruh memecahkan tulang kerana tiada dalil yang menunjukkan ke arah makruh.

Sunat juga disedekahkan daging nasikah itu kepada bidan yang menyambut bayi berdasarkan kepada hadis mursal berikut:

Kenduri Nasikah

Tidak terdapat sebarang hadis daripada Nabi saw mengenai kenduri nasikah. Hanyasaja terdapat di kalangan sahabat yang melakukannya. Antara dalilnya:

Daripada Muawiyah bin Qurah berkata, “Tatkala I’yas dilahirkan, aku mengundang sahabt datang ke rumahku kerana mengadakan kenduri. Sempena kehadiran mereka aku berkata, “Kamu sekalian memenuhi jemputan majlis yang mulia ini dan semoga kamu mendapat keberkatan daripadanya. Aku meminta kamu sekalian mengaminkan ketika aku berdoa untuk agama anakku dan kecerdasan akal I’yas. Itulah niatku mengundang dan menjamu selera di rumahku dan memberitahu kamu satu doa yang khusus untuk anakku I’yas dalam majlis yang penuh berkat ini.””[Dikeluarkan oleh Bukhari dalam adabul Mufrad dengan sanad yang sahih]

Maka berdasarkan athar di atas, jelaslah bahawa cara kenduri yang dilakukan oleh para sahabat ra.

Bercukur

Hukum mencukur kepala bayi adalah sunat tanpa mengira lelaki mahupun perempuan. Maksud cukur adalah jelas tanpa memerlukan sebarang penjelasan lagi. Telah keliru kebanyakan awam bahawa menganggap memadai dengan hanya memotong jambul bayi itu. Padahal jelas dalam hadis bahawa yang disuruh adalah mencukur:

Daripada Amru bin Syu’aib meriwayatkan bahawa Rasulullah saw menyuruh memberi nama anak pada hari ketujuh dan mencukur rambut kepalanya.[Hadis hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi, al-Hakim, Ahmad, Baihaqi dan lain-lain]

Hadis di atas umum tanpa mengkhususkan lelaki atau perempuan. Oleh itu, para fuqaha’ tidak membezakan lelaki dan perempuan dalam hal ini.

Adapun larangan bercukur separuh adalah merujuk kepada hadis berikut:

Ibn Umar ra mengatakan, “Antara larangan Rasulullah saw adalah dengan mencukur rambut yang tidak sempurna(Qaz’i). Lalu mereka bertanya, “Apakah itu Qaz’i?” Baginda menjawab, “Mecukur sebahagian rambut di kepala dan membiarkan sebahagian lagi.””[Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasa’I, Ibn Hibban dan lain-lain]

Rambut yang dicukur, ditimbang. Kemudiannya bersedekah perak seberat timbangan rambutnya itu. Ibn Hajar dari kalangan mazhab Syafi’I dalam kitab al-Talkhis berkata:

“Semua riwayat sependapat menyatakan kadar sedekah itu mengikut sukatan perak. Tiada suatu riwayat yang menyebut sukatan emas.”

Namun begitu, kitab kontemporori mazhab Syafi’I iaitu al-Fiqh al-Manhaji mengatakan boleh memilih antara sukatan perak atau emas.

Adapun waktu bercukur adalah selepas disembelihkan binatang nasikah itu. Ia tidaklah semestinya pada waktu kenduri nasikah itu sepertimana dipahami orang awam. Bahkan berdasarkan hadis Amru di atas, disunatkan juga mencukur anak pada hari yang sama dengan hari penyembelihan.

Penutup

Demikianlah risalah yang serba ringkas ini yang saya tulis dalam masa 2 hari. Ketahuilah bahawa perbahasan di atas ini diringkaskan sedaya yang mungkin. Padahal, para fuqaha telah membahaskannya dengan panjang lebar. Pelbagai perbezaan pendapat wujud mengenainya dan kesemuanya merupakan ijtihad para mujtahid berdasarkan dalil-dalil yang mereka kemukakan.

Dengan ruang yang terhad ini, tidak mampu untuk saya bahaskannya. Sedangkan hati ini inginkan yang demikian. Oleh itu, memadailah risalah ini bagi panduan orang awam. Sebarang kekurangan dan kesilapan diharapkan dapatlah dikhabarkan kepada saya untuk diperbetulkan. Kerana sesungguhnya insan itu insan. Tidak dapat insan lari dari sifat keinsanannya yang serba lemah.

Daripada Abdullah bin Amru bin Ash ra bahawasanya Nabi saw bersabda, “Sampaikanlah sesuatu dariku meskipun satu ayat, dan boleh saja kalian menceritakan tentang Bani Israil(untuk diambil pelajaran). Barangsiapa yang mendustakan kepadaku dengan sengaja, maka sebaiknya ia bersiap-siap untuk menempati tempat duduknya di neraka.” [Hadis riwayat Bukhari. Imam an-Nawawi memasukkan hadis ini dalam Riyadhus solihin di bawah bab Kitab al-ilmi]

“Ya Allah. Saksikanlah bahawa aku telah menunaikan amanahMu dengan menyampaikan ilmu yang ada pada diriku. “

Wassalamu’alaikum

Ditulis dan disusun oleh,
-Ayahanda-

[1] Para ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum menggunakan istilah aqiqah. Ada yang mengharuskan dan ada yang memakruhkannya. Ibn Hajar al-Asqalani dalam fathul bari (9/588) mengatakan bahawa kalimah yang terbaik adalah nasikah atau dzahibah, bukannya aqiqah. Allahu’alam.
[2] Dr Mariam Ibrahim Hindi mengatakan bahawa mazhab Hanafi mengatakan hukum nasikah itu makruh. Yang benar (Allahu ‘alam), pada sisi mazhab Hanafi, hukumnya harus sepertimana dinyatakan oleh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-fiqh al-Islami wa adilatuhu.

Tuesday, June 1, 2010

TANGGUNGJAWAB SUAMI TERHADAP ISTERI


TANGGUNGJAWAB SUAMI TERHADAP ISTERI*

Oleh: g@y@t
(Artikel ini ditulis pada tahun 2004)

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang menciptakan alam ini tanpa sedikit kecacatan. Yang menjadikan manusia dengan penuh sifatnya. Maha Besar Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam semoga terlimpah pada Rasul mulia, junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya, dan para penerusnya yang mengikuti mereka sehingga kiamat. Wahai orang Islam sekalian, takutlah akan Allah. Bertawakallah kepadaNya. Bersama-samalah kita saling ingat-mengingati ke arah kebenaran. Semoga tergolong di dalam golongan yang telah dijanjikan Allah kemualiaan di sisiNya. Insya Allah.

Rata-rata masyarakat Islam mengi’tiraf kuasa suami ke atas isteri yg diberikan oleh Islam. Masyarakat Islam rata2 sudah mengetahui hak suami ke atas isteri. Dan perkataan nusyuz juga sudah tidak asing lagi pada pandangan masyarakat awam Islam. Namun, apa yg menyedihkan kelompok suami ini seakan-akan tidak tahu hak isteri ke atas suami. Apa yang cuba diketengahkan ialah sikap pergaulan suami kepada isteri yg kasar dan dicampur pula dgn herdikan serta hinaan. Isteri ditengking tanpa merasa timbang-rasa.

Islam telah menggariskan bukan saja hak suami ke atas isteri tetapi juga sebaliknya. Di antara hak isteri ialah nafkah zahir dan batin, didikan dari suami, layanan mesra daripada suami dan lain-lain. Apa yg ingin ditekankan di sini ialah hak layanan suami ke atas isteri.

Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud:

“…..Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

Dalam ayat 228 surah al-Baqarah pula, Allah berfirman yang bermaksud:

“…..Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf….”

Ibn Kathir dalm mentafsirkan ayat 228 di atas mengatakan apa yang dimaksudkan dengan ‘hak yang seimbang’ ialah bergaul dgn mereka dgn baik, berbuat dan melayani mereka dengan baik bergantung pada kemampuannya. Sepertimana suami ingin dilayani isteri, seperti jugalah hendaknya suami melayani isteri. Sesuailah dgn sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Terbaik dikalangan kamu ialah yg paling baik terhadap isterinya dan sesungguhnya akulah org yg paling baik dikalangan kamu terhadap isteriku.”[HR at-Turmudzy dan Abu Dawud]

Dalam hadis yg lain;

“Orang mukmin yang paling baik imannya iaitu yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang paling baik di antara kamu iaitu org yang sangat baik kpd isterinya.”[HR Ahmad dan at-Turmudzi]

Seorang suami juga seharusnya melihat jangkamasa panjang jika terjadi sesuatu yg tidak disukainya sepertimana hadis berikut:

Abu Hurairah ra menerangkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminat(isteri). Jika dia tidak menyukai salah satu perangai isterinya, tentu ada sesuatu perangai lain dari isterinya yg disukai.”[HR Ahmad dan Muslim]

Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 128 yg bermaksud:

“Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan istrimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Maka jelaslah dengan segala dalil yang dikemukakan di atas, tidaklah terdapat sebarang alasan untuk seorang suami melayan isteri dengan kasar atau seumpamanya tanpa sebab. Hak menggauli isteri dengan baik ini adalah satu kewajipan dan sekiranya ia tidak dilaksanakan, maka berdosalah suami dan kata-kata bahawa suami itu tidak akan berdosa jika berkasar dengan isteri itu tertolak. Allahu Ta’ala ‘alam.




* Lihat juga:


Dr Saalih Ghaanim al-Sadlaan, The Fiqh of Marriage in the Light of the Quran and Sunnah

TM Hasbi Ash Shiddieqy, Koleksi Hadis2 Hukum 8

Fatawa Ibn Uthaimeen, Fatawa Islamiyyah Jil 5

Sayyid Sabiq, Fiqhus sunnah