'Ketika membelek buku-buku lama di rak, saya menemui sebuah buku yang saya gunakan sewaktu pengajian di peringkat I’dadiah. Saya memhembus habuk yang melekat padanya. Ada bubuk buku berkeliaran, bau lapuk terserak sama. Saat menyelak-nyelak helaian buku itu, saya tertarik kepada satu tulisan catatan tangan di penjuru bahagian atas muka surat pertama yang tertulis:
“Kitab ialah bicara bisu pengarangnya yang mrentasi zaman dan jarak!”
Saya merenung dengan mendalam catatan ringkas ini, ternyata ada kebenarannya. Kita tidak dapat berbicara dengan asy-Syafi’I kerana selisih masa antara kita dan dia ialah 1200 tahun. Tetapi kita boloeh meneroka mindanya apabila kita menelaah al-Umm. Kita tidak punya pintu ajaib yang boleh di buka ke terowong masa lampau untuk mendengar bicara al-Ghazali, tetapi kita boleh ‘mendengar’ syarahannya dalam ihya’ ulumuddin……………… Semua ini kita temui melalui buah tangan tulisan mereka.Masa dan jarak sama sekali tidak melusuhkan mutiara pemikiran mereka! '
Sungguh aku terkesima dengan tulisan di atas ini. Ya, ia bukan tulisanku. Tetapi aku salin dari buku tulisan Ustaz Zul Ramli yang bertajuk ‘U-TURN KE JALAN LURUS’. Betapa benarnya apa yang beliau nukilkan. Meskipun masa berlalu tanpa mengira apapun yang berlaku, tulisan para pemikir sentiasa di bawa bersama. Bahkan tulisan mereka menjadi rujukan utama dalam kebanyakan keadaan….
Buku ‘U-TURN KE JALAN LURUS’ merupakan sebuah buku yang sebenarnya memasukkan mutiara tauladan secara santai kepada hadis-hadis qudsi yang dihimpunkan oleh al-Imam al-Ghazali rhm dalam kitabnya bertajuk ‘al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah’. Setelah membacanya, sebahagian besar pengajaran dan tauladan yang dimasukkan benar-benar menginsafkan diri ini. Kadang-kala perkara yang sering berlaku di persekitaran kita, sebenarnya terkandung seribu satu pengajaran bagi mereka yang benar-benar berfikir. Benarlah kalam-kalam Allah di dalam al-Qur’an:
Surah Ali Imran ayat 190-191 bermaksud:‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan sesuatu dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.’
Surah ar-Ra’d ayat 3 bermaksud:‘Dan Dia yang menghamparkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai di atasnya. Dan padanya Dia menjadikan semua buah-buahan berpasang-pasangan; Dia menutupkan malam kepada siang. Sungguh, pada demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir.’
Aku menyarankan agar peminat-peminat ilmu membaca buku ini sebagai salah-satu santapan rohani. Untuk pengetahuan semua, suara Ustaz Zul Ramli ini sering berkumandang di radio IKIM.fm bagi rancangan Durul Hikmah (Tahsin as-Solah: Falsafah dan Dinamika Solat).
http://eashoppingcentre.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=652