Jam di tangan menunjukkan pukul 830 malam. Syukri baru sahaja selesai membaca Al-Qur'an. Setelah di letakkan kitab suci di meja tepi katilnya, dia bersiap untuk keluar makan malam. Dia yang biasanya makan di hotel sahaja, teringin untuk merasa makanan tempatan pula malam ini. Dia sudahpun tahu di mana dia ingin menikmati makan malamnya melalui pencarian di aplikasi telefonnya.
Apabila telah siap seadanya, dia terus keluar dari biliknya. Dia berjalan ke arah kereta dan seperti biasa, dia akan melintasi lobi hotel. Sempat juga dia menjeling meja resepsi tapi hampa. Gadis yang kini telah mengetuk pintu hatinya tidak kelihatan. Tetapi dia ternampak seorang gadis lain yang sedang bersiap untuk pulang. Gadis itu seperti pernah dia lihat. Selang beberapa saat, dia mula teringat bahawa gadis inilah yang berada di meja resepsi siang tadi bersama gadis misterinya. 'Mungkin aku boleh bertanya nama gadis misteriku pada gadis ini. Setidaknya, kalau nasibku baik dapat juga ku tau namanya dahulu.' Fikiran Syukri ligat berfungsi. Tanpa membuang masa, Syukri menghampiri gadis itu.
"Assalamualaikum Cik, err Cik Nani." Syukri sempat menjeling tanda nama Nani di atas dadanya.
Maaf, boleh saya bertanya sedikit?" Sambung Syukri.
"Waalaikummussalam. Ya, ada apa-apa boleh saya bantu?" Jawab Nani tenang. Kerja sebagai penyambut tetamu telah melatihnya untuk menghormati tetamu dan sentiasa memberi senyuman.
"Maaf Cik Nani. Sebenarnya saya ingin bertanya nama sahabat kerja Cik Nani siang tadi, perempuan. Saya ada berurusan dengan dia siang tadi tapi belum selesai. Cadangnya nak berjumpanya esok." Syukri berkata bagaikan lembut gigi daripada lidah. Dia menyusun kata-katanya dengan berhati-hati. Bimbang jika gadis di depannya menangkap hasrat sebenarnya.
"Oh. Namanya Cik Rina. Encik boleh cari dia di meja resepsi esok. Insya Allah dia akan ada di situ seawal 8 pagi." Jawab Nani tanpa berfikir panjang. Baginya tiada yang pelik pada pertanyaan Syukri itu. Lagipun dia tidak memberi apa-apa maklumat peribadi kepada orang asing.
"Terima kasih Cik Nani. Esok saya akan berjumpa Cik Rina. Tapi kalau dia takde, mungkin Cik Nani boleh bantu saya esok." Kata Syukri cuba untuk tidak mencurigakan Nani.
"Ya, insya Allah saya boleh bantu juga." Balas Nani dan terus berlalu pergi meninggalkan Syukri.
Syukri tersenyum lebar. Dia terasa seperti mendapat durian runtuh. Dia bukan hanya mendapat nama gadis misterinya sahaja, tetapi juga kepastian bahawa Rina akan berada di meja resepsi hotel dari pukul 8 pagi. Otaknya ligat mengatur strategi. Syukri tidak mahu mensia-siakan peluang ini. Bukannya dia ingin terburu-buru, tetapi hatinya memberontak jika dia tidak mengambil sebarang langkah. Dia terus menuju ke keretanya dan memandu terus ke kedai makan yang telah dipilihnya awal tadi.
***
“Aku bukan seorang pejuang, aku hanyalah seorang pecinta, tapi aku akan memperjuangkan sesuatu yang aku cintai”. Anonymous
Kata-kata ini sentiasa bermain di dalam benak fikiran Asyraf. Kata-kata yang dia baca di dalam salah satu laman web menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan usaha untuk memiliki gadis cantik yang telah bertakhta di hatinya. Dia ingin memiliki hati Rina. Kerana dengan memiliki, cintakan bersemi.
Rina yang akan dia temui sebentar nanti, akan dia luahkan isi hatinya. Sudah berapa kali dia mengulangi ayat yang telahpun dia susun, dengan harapan dia tidak gagap di hadapan gadis idamannya. Meskipun dia tidak tahu bagaimana reaksi Rina pada luahannya nanti, dia tekad untuk meneruskan juga. 'Akulah penjuang cinta'.
Dadanya acap kali terasa senak kerana sudah lama memendam rasa. Dia sudah tidak sanggup menahan kesakitan ini. Dia perlu melepaskannya malam ini juga. Jika tidak di gali perigi, masakan kita akan mendapat airnya. 'Apa nak jadi, jadilah.' Bentak Asyraf di dalam hatinya.
Tidak berapa lama selepas itu, kelihatan Rina sedang berjalan ke arah kedai makan. Dia mendongakkan kepala mencari di mana meja yang diduduki oleh Asyraf. Asyraf mengangkat tangan memanggil Rina. Asyraf begitu gembira melihat gadis yang dia gilai menghampirinya. Rina berpakaian baju kurung merah, bertudung hitam. Bibirnya merah tetapi tidak terlalu terang dek kerana gincunya. Mata Asyraf tidak berkelip melihat kecantikan dan keayuan Rina.
Setibanya di meja makan, Rina menarik kerusi dan terus duduk di depan Asyraf. Mata Asyraf masih belum dapat melepaskan pandangannya. Bibirnya tidak berhenti mengukir senyuman.
"Ooii, apahal tengok saya macam tu. Macam nampak apa jer..?" Sergah Rina yang sudah tidak senang dengan tenungan Asyraf.
"Hahaha.. sori sori.. rasa macam ternampak bidadari turun dari syurga pulak ni." Asyraf memuji Rina sambil ketawa...
Rina bertambah tidak senang mendengar kata-katanya, "Hmmm... dah, cepat, order makanan. Saya tanak lama ni..."
Asyraf mengangguk setuju dan terus memanggil pelayan untuk memesan makanan...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment