Friday, January 10, 2020

Mendung tidak semestinya ke petang...

Jam di teleponku berbunyi, membuat aku terjaga dari lenaku. Tidurku kurang nyenyak. Mungkin kerana otakku aktif berfungsi. Tambahan pula keadaan bilik yang sejuk membuatkan aku terjaga-jaga di keheningan malam.

Selesai solat Subuh, aku mengambil kesempatan berdoa, mengambil kelebihan mustajabnya doa sang musafir. Semoga Allah mengabulkan doa-doaku, sang musafir yang pastinya tidak suci dari melakukan dosa. Terasa malu terhadapNya, pelbagai perkara di minta, tapi sangat sedikit yang telah aku lakukan untukNya. Walau apapun, solat 5 waktu, jangan sesekali ditinggalkan. Walau di manapun kita berada. Kerana dengan solatlah ia membina agama di dalam diri ini. Solatlah meskipun kita tidak ikhlas. Dengan harapan, solat yang tidak ikhlas itu akan kemudiannya menjadi satu kemanisan sehinggakan kita melewatkannya pun, akan membuatkan hati kita berasa gusar dan tidak senang duduk.

Pada saat aku menulis ini, aku berada di dalam kenderaan, menuju ke destinasi lain yang jauhnya kira-kira 3 jam perjalanan. Terasa ingin cuba melelapkan mata ini sebentar. Aku memaksa diri untuk senyum. Moga pagi yang mendung kini, akan menjadi cerah apabila aku membuka mataku nanti. Demikian jua aku harapkan pada diriku... 




No comments:

Post a Comment