Aku, seperti yang pernah aku tulis sebelum ini. Amat meminati buku. Dan Alhamdulillah, bukan sekadar meminati buku, tetapi juga mempunyai hobi membaca buku. Beberapa buku telah aku kongsikan sebelum ini secara ringkas agar dapat berkongsi manfaat dengan pembaca semua. Jika ingin mendapat manfaat sepenuhnya, bacalah buku-buku tersebut. Nescaya anda akan mendapat manfaat dan kenikmatan ilmu itu sepenuhnya…..
Antara buku yang aku banyak aku baca selain buku agama adalah buku mengenai 'self-help'. Tak sedikit juga yang telah aku baca dan ambil manfaatnya. Tetapi antara penulis yang benar-benar membuatkan aku terpesona dengan gaya penulisannya ialah John C. Maxwell. Beliau banyak menulis perihal 'leadership' dan 'teamwork'. Kalau kita menelusuri penulisan beliau, kita akan dapat tahu bahawa beliau seorang aktivitis Kristian yang aktif. Tetapi, aku rasa, sepanjang pembacaanku terhadap beberapa buku beliau, Alhamdulillah, beliau tidak memasukkan sebarang unsur-unsur Kristianisasi. Pun begitu, kita perlu melihat terlebih dahulu tajuk buku yang ingin kita beli. Kerana aku sendiri pernah menjumpai buku beliau yang sememangnya beliau tulis perihal Kristian.
Insya Allah, dari semasa ke semasa, aku akan cuba coretkan sedikit-sebanyak isi daripada buku-buku beliau untuk dikongsikan bersama. Tidak lain hanyalah sebagai satu perkongsian ilmu sesama kita……
The Law of the Lid – Leadership Ability Determines a Person's Level of Effectiveness
Ayat di atas menjadi topik pertama yang dibincangkan oleh John C Maxwell dalam satu buku beliau bertajuk The 21 Irrefutable Laws of Leadership. Dengan erti kata lain, tahap efektif seseorang itu ditentukan oleh tahap kepimpinannya. Jika dia mempunyai tahap kepimpinan 8/10, maka tahap efektifnya tidak akan lebih daripada itu. Sekiranya tahap kepimpinannya 4/10, demikian juga rendahnya tahap efektifnya.
Aku merenung kenyataan ini dan aku dapati terdapat kebenaran padanya. Kerana kita perlu ingat bahawa serendah-rendah pemimpin itu, adalah pemimpin kepada diri sendiri. Sekiranya kita mempunyai daya pimpin yang rendah terhadap diri kita, mana mungkin kita dapat menjalani hidup ini dengan efektif. Hidup kita akan menjadi tidak teratur dan tiada hala tuju.
Kisah yang bersangkut dengan kenyataan ini adalah seperti yang dialami oleh 2 orang adik-beradik yang bernama Dick dan Maurice sekitar 1930 yang mereka memulakan kerjaya mereka sebagai seorang pengusaha Teater di Hollywood. Malangnya, kerjaya mereka ini gagal. Pun begitu, mereka tidak menyerah kalah. Bahkan semangat mereka meninggi meskipun mereka gagal dalam dunia teater.
Hidup mereka menjadi lebih baik apabila mereka membuka restoran kecil berkonsepkan Drive-In. Bisnes mereka menjadi lebih maju dengan keuntungan bersih USD50k setahun. Sebagai restoran yang kecil, nilai tersebut bukanlah satu nilai yang kecil.
Pada tahun 1948, mereka merasakan sudah tiba masanya mereka mengubah strategi dan konsep bisnes. Mereka menutup konsep 'Drive-In'. Sebaliknya mereka membuka restoran berkonsepkan 'fast food'. Dick and Maurice meringkaskan menu dan menurunkan harganya. Kaedah penyediaan makanan pula diubah seperti 'assembly line' kilang. Dan mereka berjaya mendapatkan keuntungan dari anjakan mereka ini. Merekalah pengasas McDonalds.
Namun, apa yang kita kenal MacDonalds kini sebenarnya mempunyai kisah yang menarik disebaliknya. Dick dan Maurice tidak dapat pergi lebih jauh melainkan sekadar pemilk sebuah restoran sahaja….
Kisah di Sebaliknya………
Setelah Dick dan Maurice berjaya dalam bisnes restoran mereka, sebagai usahawan yang bersemangat, mereka cuba untuk berkecimpung dalam dunia franchisee. Mereka menganggap ia semudah itu. Apa tidaknya, restoran dengan nama yang sama dibuka oleh orang yang lain. Sedangkan mereka mendapat royalty ke atas usaha orang lain itu…..
Tetapi, ia tidaklah semudah itu. Mereka gagal dalam usaha mereka. Dick and Maurice sememangnya usahawan yang berkaliber. Namun, mereka tidak mempunyai tahap kepimpinan yang tinggi. Kepimpinan mereka hanyalah sekadar pemilik sebuah restoran yang kecil………………
BERSAMBUNG.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment