Friday, May 14, 2010

Apabila Harapan Menjadi Pemangkin



Pengalaman adalah sesuatu yang berharga, Ia tidak boleh dibeli dengan sebesar manapun nilainya. Ia hanya hadir seiring dengan berlalunya masa. Kerana itulah erti pengalaman……..

Jika pengalaman itu sesuatu yang telah lepas, harapan pula sesuatu yang mendatang……. 2 perkara ini jika disatukan dapat menjadi pemangkin kepada haluan hidup seseorang…
Telah banyak harapan memainkan peranan dalam kehidupan manusia. Dengan harapan ini, tidak sedikit yang telah mencapai kejayaan. Dengan harapan juga, ramai dapat mengharungi kehidupannya dengan tabah….

Lihatlah persekitaran kita. Betapa seorang ibu membesarkan anaknya dengan harapan akan berjaya di masa hadapan. Bagaimana seorang guru mendidik dengan harapan anak didiknya berjaya ke manara gading. Bagaimana seorang pekerja, bekerja dengan sepenuh jiwa dengan harapan mendapat imbuhan dari hasil keringatnya…. Itulah peranan harapan. Apakah kita masih meragui peranan harapan? Bagaimana kiranya harapan itu tidak hadir dalam hati insan?

Sebagai seorang insan, kita perlu mempunyai harapan… Tetapi letaklah harapan itu di suatu tempat yang dapat dicapai. Jangan diletakkan gula di para yang tinggi, kerana kelak kau akan sukar mencapainya. Jangan juga kau letakkanya di para yang rendah, kerana akan ada kanak2 yang bermain dengannya….

Dayunglah engkau mengharungi sungai dengan segenap tenagamu. Biar arus sekuat mana sekalipun, harungilah ia dengan semangat yang jati tanpa mengenal erti lelah. Kerana percayalah, harapan yang engkau letakkan itu, pasti akan dapat kau garap sekiranya engkau berusaha ke arahnya…

Janganlah kau endahkan suara asing yang datang kerana ia hanyalah umpama angin yang lalu tidak kunjung pulang. Jika laluan engkau dihalang oleh batu yang besar, jangan engkau cuba memecahkannya jika tidak mampu. Tetapi berjalanlah mengelilinginya…
Berusahalah….

Dan kemudian bertawakkallah kepadaNya. Nescaya harapanmu menjadi kenyataan.. Amiin...

No comments:

Post a Comment