Kehidupan adalah satu pemberian Allah yang maha kuasa. Tanpa kehendakNya, seseorang tidak dapat menikmati erti kehidupan. Tidak kira ia bagaimana bentuk kehidupan itu, semuanya aturan Allah yang maha bijaksana. Firman Allah dalam surah Hud, ayat 6 yang bermaksud;
“Dan tidak ada suatu binatang melatapun di bumi melainkan Allahlah yang memberikan rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Kehidupan itu datang dalam pelbagai wadah. Ada yang penuh dengan liku, dugaan dan cabaran. Dan ada juga yang mudah perjalanan hidupnya. Walaubagaimana keadaan kehidupannya, hanya insan itu sahaja yang dapat menentukan pilihan titik akhir yang diinginkan. Apakah dia inginkan kehidupan indah yang berkekalan ataupun sebaliknya. Kata William James, “Hidup itu adalah hasil karya dari fikiran anda sendiri.”
Ada sebahagian di antara kita merasakan dia tahu apa itu erti kehidupan. Atas sangkaan ilmunya yang tahu apa itu kehidupan, maka keluarlah kata-kata seperti, “haaa…padan muka…that’s life” apabila rakannya menghadapi masalah. Tidaklah dikatakan salah pada kalimah ini. Tetapi janganlah kita memendekkan akal sekadar itu. Erti kehidupan itu luas. Jangan disangka bahawa erti kehidupan hanyalah melalui kesukaran hidup. Kerana jika dikatakan kesukaran hidup itu erti kehidupan, maka ramai sahaja yang melalui kehidupan yang lebih berat daripada diri kita ini. Dan kalau diikutkan sifir yang kita reka sendiri itu, maka pasti kesukaran hidup kita itu, tidak layak diertikan sebagai erti kehidupan yang boleh diaplikasikan kepada semua insan.
Yang benar, setiap insan itu ada jalan kehidupannya. Semuanya telah diatur Allah. Maka apa yang dilaluinya, itulah erti kehidupan yang sebenar. Hanya yang tinggal, mereka ingin belajar daripadanya. Dan kehidupan orang lain, yang barangkali kita ikut perkembangannya melalui media massa ataupun kita baca buku-buku biografinya, boleh kita gunakan sebagai teladan hidup sahaja, bukan untuk kita mendefinisikan erti kehidupan.
Seorang ahli falsafah Perancis, Monten ada mengatakan, “Manusia sebenarnya tidak terpengaruh dengan apa yang terjadi, akan tetapi ia terpengaruh dengan fikirannya tentang apa yang terjadi.”
Kadang kala kita mendengar rintihan insan atas kesukaran perjalanan hidupnya. Sehingga ada berputus asa yang akhirnya memilih jalan membunuh diri. Semua ini pasti tidak akan berlaku, kalau setiap daripada kita berserah diri dan bertaqwa sepenuhnya kepada Allah yang Maha Kuasa. Kerana setiap apa yang kita lalui, Allah lebih mengetahui hikmah disebaliknya. Kalaupun hikmah itu tidak diungkap pada ketika masih hidup, pasti akan Allah bentangkannya di hari kemudian nanti. Bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah itu bersangka baik kepada hambaNya. Firman Allah swt dalam hadith Qudsi yang bermaksud,
“Aku menurut prasangka hambaKu kepadaKu. Oleh itu berperangsakalah dia kepadaKu tentang apa yang dia kehendaki.”
Apapun, perjalanan hidup seseorang telahpun ditentukan oleh Allah swt. Tugas hambaNya hanyalah mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan kepadanya. Ingatlah bahawa nikmat Allah itu luas. Jangan disingkatkan lagi pemikiran akan erti nikmat itu.
Sebagai penutup, beberapa kata-kata yang ingin dikongsikan....
Abraham Lincoln berkata, “Seandainya saya membaca surat-surat yang berisikan cacian dan celaan yang ditujukan kepada saya, maka pasti saya sudah meletakkan jawatan.”
Bechzamehor berkata, “Kesukaran dan kesengsaraan sebelum datangnya kebahagian dan kelapangan bagaikan rasa lapar sebelum datangnya kenyang, ia dapat menjadikan seseorang itu benar-benar mengecapi kenikmatannya.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment