Tuesday, January 14, 2020

Sambutlah Cintaku - 6


Hujan turun dengan lebatnya. Guruh dan kilat silih berganti. Deruan angin kedengaran di luar tingkap. Sekali-sekala kedengaran bunyi atap seakan ingin terbang melayang. Matanya terkebil-kebil memandang ke siling biliknya. Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Sudah sejam dia cuba melenakan dirinya, tapi masih gagal. Kejadian di kedai makan tadi betul-betul mengganggu fikirannya. 

Rina mencapai dompetnya dan mengeluarkan helaian kertas yang diberikan Asyraf. Dia membacanya berulang-kali. Dia cuba mendalami isi hatinya. Apakah yang sebenarnya yang diinginkan. Apakah ada perasaan cinta atau sekadar sentuhan rasa dek kerana indahnya bait-bait nukilan Asyraf. Dia tidak pernah memikirkan soal hati berkaitan Asyraf. Selama ini dia hanya menganggap Asyraf tidak lebih melainkan sahabat baik. Rina menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Dia beristighfar dan memohon agar Allah dapat membantunya.

Wajah lelaki yang tidak dikenalinya muncul pula. 'Bagaimana dia boleh tahu namaku.' Bisik hati Rina. Ketika bertentang mata, jantungnya seakan terhenti seketika. Hatinya dirasakan seperti di lambung. Segalanya kaku bagaikan gunung memasak bumi. Walaupun pertembungan itu seketika sahaja, Rina dapat merasakan sesuatu yang tidak pernah dia rasai. Jika ini dikatakan cinta, bagaimana pula perasaan yang dia rasakan terhadap Asyraf. 'Tidak mungkin cinta. Masakan boleh cinta jika keduanya hampir serentak. Di satu pihak sabahat baik, di satu pihak yang lain seseorang yang dia tidak pernah kenal sebelum ini.

Xxx

Azan Subuh kedengaran sayup-sayup. Syukri terus bangkit dari tidurnya. Hari ini adalah hari terakhir dia menginap di hotel ini. Setelah selesai solat Subuh dan membaca al-Qur'an, dia bersiap untuk 'check-out'. Selepas semuanya siap, dia menarik bagasinya keluar bilik dan menuju ke restoran hotel untuk menjamah sedikit sarapan pagi. Suasana agak sunyi, mungkin hari ini hari bekerja. Lagi pula bukan musim cuti sekolah. 

Syukri mengambil beberapa juadah yang dihidangkan dan dinikmatinya dengan tenang. Dia menoleh ke luar tingkap, matanya terpukau dengan keindahan alam ciptaan Ilahi. Matahari yang baru sahaja terbit, menyinari muka bumi. Kelihatan juga beberapa awan kulumbus yang bergerak bebas di tiup angin. Syukri meneguk air kopinya dan mengucapkan 'Masya Allah.. Alhamdulillah.. Allah bangkitkan aku dari mati yang sementara kemudian memberikan aku 1001 kenikmatan. Sungguh aku seorang yang buta syukur. Semoga Allah ampunkan dosa-dosaku.'

Syukri melihat jam di tangannya, 815 pagi. Dia terus berjalan ke arah resepsi sambil menarik bagasinya. Rina kelihatan sedang sibuk mengemas meja resepsi, barangkali dia baru masuk kerja. Syukri bernasib baik kerana tiada orang melainkan Rina. Tanpa berlengah, dia terus menyapa Rina setibanya di meja resepsi.

"Assalamualaikum Cik Rina, saya nak 'check-out'." Sapa Syukri dengan tenang...

"Waalaikummussalam. Ok. Boleh sa..." Rina tergamam apabila dia mengangkat pandangannya. Lelaki yang telah mengusik hatinya, sekali lagi berada di depan matanya. Dia kelu seribu bahasa.

"Maaf Cik Rina. Saya dapat tahu nama Cik Rina daripada kawan sekerja Cik, Cik Nani. Saya sendiri bertanya kepadanya." Syukri cuba menjelaskan kerana bimbang Rina memikirkan yang bukan-bukan. Syukri tidak mahu dia disalah-ertikan. Padanya, biarlah kita jujur, meskipun ia boleh menyakitkan. Dia memberikan senyuman yang manis dengan harapan Rina menjadi lebih tenang.

Rina membalas senyuman Syukri. Dia mengambil kad kunci bilik yang dihulurkan kepadanya. "Sebentar, ya Encik." 

Setelah selesai memproses 'check-out' Syukri, dia menyerahkan bil kepadanya, "Ini bilnya Encik Syukri." Senyuman Rina benar-benar menusuk hingga ke hati Syukri. Apalagi dia menyebut namanya.

"Terima kasih Cik Rina. Maaf, boleh saya dapatkan nombor telefon Cik Rina?" Pinta Syukri. Dia sendiri terkejut dengan keberaniannya. Tapi dia nekad. Lagipun dia tidak tahu bila lagi dia akan menginap di hotel ini lagi. 

Rina terkejut dengan permintaan Syukri. Dia cuba bersikap tenang. "Untuk apa yer En Syukri mintak nombor saya?" Rina melontarkan soalan kepada Syukri.

"Maaf kalau Cik Rina tak selesa. Saya memang tertarik dengan keperibadian Cik Rina. Saya ingin mengenali Cik Rina dengan lebih mendalam. Tapi kalau Cik Rina taknak, tak mengapa. Saya faham." Syukri berterus-terang. Senyuman ikhlasnya masih di bibirnya. Dia menanti jawapan balas Cik Rina.

"Sekejap yer..." Rina mencapai kertas kosong kecil yang ada dia meja itu dan menulis di atasnya. Kertas di lipat dan dihulurkan kepada Syukri. "Ini dia. Simpan elok-elok." Rina sempat berseloroh. Wajahnya merah mungkin kerana malu.

Syukri mengambil kertas sambil mengucapkan terima kasih. "Ini sedikit buah tangan dari saya. Makanlah dengan Cik Nani atau kawan-kawan lain." Syukri memberi Ferrero Roche yang dibelinya tempoh hari. Dia terus berlalu menuju ke keretanya tanpa menanti respon Rina. Setelah beberapa langkah, dia menoleh sekali lagi ke arah Rina dan menghadiahkan senyuman. Rina membalas senyumannya dengan senyuman yang manis jua darinya.

Sampai sahaja di kereta, Syukri meletakkan bagasi di ruangan belakang kereta. Dia kemudiannya terus masuk ke dalam keretanya. Di tangannya, masih terselit kertas pemberian Rina. Dia membuka lipatan kertas itu 

'Rina - 01.........' 

Syukri tergelak berdekah-dekah. Mujur sahaja dia di dalam kereta. Kalau tidak, mau ramai orang akan menoleh ke arahnya dek kerana ketawanya yang besar. 'Kau bagi aku 01 jer...'

Tiba-tiba telefon bimbit Syukri berbunyi. Dia terus menekan butang untuk menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, ayah. Bila ayah balik..."


Bersambung....




No comments:

Post a Comment