Wednesday, January 8, 2020

Monolog Seorang Hamba Allah...

Teksi yang ku panggil telahpun tiba. Aku membuka pintu rumahku dan menarik beg bajuku menuju teksi yang sedang menungguku di depan pagar rumah. Setelah semua barangku dimasukkan ke ruangan belakang kereta, aku bersalam dengan isteri dan anak-anakku, mengucapkan selamat tinggal. Tanpa berlengah, aku menaiki teksi yang dari tadi menungguku untuk menuju ke KLIA.



Aku menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Entah kenapa, hatiku terasa tidak tenteram sejak pagi lagi. Keluar pula berita pesawat Ukraine terhempas di Iran. Apakah alam cuba memberi petanda? Aarrghh.. tak mungkin. Ini semua mainan perasaan. Cuba menganggu urusan harianku... Aku mengalihkan perhatianku pada FB. Tapi tiada apa yang menarik.

Pandanganku beralih ke luar. Teksi yang ku naiki ini agak berhemah. Kereta tidak putus memotong. Sesekali aku menjeling ke arah pemanduku. Terlihat dia tetap tenang dengan pemanduannya.

Dalam aku merenung ke luar tingkap teksi, otak kecilku cuba bermain wayang, cuba menjentik memori silamku. Cuba meracuni hati yang sedang bertarung untuk pulih. Pemikiran dan perasaan negatif datang hinggap di hati ini bagaikan parasit. Tidak.. aku perlu 'move on'. Aku kena melepaskan apa yang telah lepas. Apatah lagi pada sesuatu yqng tidak kita miliki. Semuanya tidak akan kembali... Tiada guna untuk di kenang lagi...

Bangunan terminal KLIA kelihatan semakin hampir. Terasa sekejap pula perjalanan. Mungkin dek otak aktif berfungsi... Satu jam dirasakan seperti 30 minit sahaja... Terdetik di hati, bagaimana masa meskipun sama durasinya, boleh disia-siakan begitu saja dan boleh juga dimanfaatkan. Apapun, masa tidak akan penah menunggu kita. Ia akan terus berlalu meninggalkan kita. Allah telahpun memperingati hambaNya dalam surah AlAsr,

'sesungguhnya manusia itu sentiasa di dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar'.

Aku duduk di luar Pintu G2. Menanti panggilan masuk.. Mata aku tertumpu pada 2 insan berlainan warganegara dan bangsa... Seorang pekerja Malaysia salah satu restoran di KLIA dan yang lain itu berkulit putih, tidak pula aku tahu asalnya... Mereka bersalam mesra dan bertanya khabar sesama sendiri. Terlihat si asing ini menghulurkan sekotak rokok kepada lelaki Malaysia itu... Berulang-kali diucapkan terima kasih kepada si asing. Meskipun hanya sekotak rokok, nilai ingatan yang menjadi kayu ukur.

Aku tersenyum melihat bagaimana silaturrahim terjalin merentas sempadan negara dan bangsa... Sungguh besar rahmat Allah yang menciptakan manusia yang pelbagai. Aku bersyukur pada nikmat mata dan telinga yang Allah berikan... Kerana dengannya, dapat aku mengambil manfaat dari alam ciptaanNya.

Cukuplah untuk kali ini aku membebel. Di harap coretan ini bukanlah coretan terakhirku. Diharapkan ada insan di luar sana mengingati dan mendoakan yang baik-baik untukku, khususnya husnul khatimah... Sehingga bertemu lagi, wahai 'blog'ku.

KLIA
8 Jan 2020

1 comment: