Sunday, May 31, 2020

Ketahuilah...

Ketahuilah saat kau tidak diperlukan lagi... Sedarlah kau kini dijauhi olehnya. Janganlah kau menyeksa dirimu lagi. Pejamkan matamu dan carilah secebis ketenangan yang pasti masih ada di dalam hatimu itu... Padamkanlah api kerinduan dan harapan kerana semua itu hanyalah sia-sia...

LAGU: TERLALU CINTA


Thursday, May 28, 2020

Tenanglah duhai hati

Pada ketika hatimu dilanda kegusaran, carilah ketenangan di sebalik hatimu yang pasrah. Biarpun meredah padang yang berduri, jangan sesekali menyerah kalah. Teruslah mencari ketenangan yang dirindui. Kerana pasti satu hari nanti, hatimu akan kembali tenang, setenang air di kali.


Maafkan diriku ini wahai diriku...

Dalam kehidupan kita, kadang-kadang kita perlu menghadapi apa yang kita tidak suka. Kita juga perlu sedar dan bersedia untuk menghadapinya di masa hadapan kerana pasti ia akan berulang. Tiada apa yang mampu kita lakukan melainkan kita memujuk diri kita sendiri. Dengan harapan hati akan menjadi lebih kuat.

Begitulah fitrah kehidupan ini... Di kala kita di sayang, kita ditatang bagaikan bayi. Di kala semuanya hilang, kita ditinggalkan dan dijauhi. Terasa diri ini sungguh dipersiakan. Sakit dan sedih, hanya Allah yang tahu... Kerap juga aku mempersoalkan takdirku ini, mengapa semua ini terjadi kepadaku. Di mana silapku hingga disisihkan diri ini dari hidupnya. Astaghfirullah.. Ampunilah aku kerana mempersoalkan aturanMu. Aku hanyalah hambaMu yang lemah. Aku terima takdirMu ini meski berat untuk ku hadapi....

Apapun, biarlah aku pendamkan semuanya. Telah ku berjanji dengan diri ini untuk mengundur diri demi kebahagiannya. Biarlah aku menghadapi hatiku yang meronta-ronta ini sendirian. Aku perlu sedar siapa aku... Hanyalah kisah lampau baginya yang tiada makna lagi dalam hidupnya... Sebuah kisah yang tiada nilai melainkan tempat yang layak hanyalah xxxxxxxx...

Maafkan aku wahai diriku sendiri kerana terpaksa menyiksamu...

Semoga bahagia... Aku percaya inilah yang diinginkannya...

Izinkan aku terus mencintaimu....

Jika angin bayu bertiup kencang, jangan dihalang daun kering berguguran... 🍂🍂🍂

Jika awan mendung di langit biru, usah ditahan hujan turun ke bumi...🌧🌧🌧

Jika wajahmu sentiasa dirinduiku, jangan dilarang hati ini dari terus mencintaimu... ❣❣❣


Tuesday, May 26, 2020

Selamat Hari Jadi Buat Anak Sulungku...

Wahai Anakku, Hari ini, 25 May 2020, merupakan hari jadimu yang ke 15.... Izinkan sang Ayah ini berceloteh... Izinkan si Ayah ini melafazkan kata-kata yang bukan selalu Ayah luahkan kepadamu... 🗣🗣🗣 

190604... Merupakan salah satu tarikh yang sangat bermakna dalam hidup Ayah dan Ibu. Pada tarikh inilah, sang bujang bertukar status menjadi suami isteri. Ia menjadi titik mula keluarga kita. 💑💑💑 

250505... Tarikh keramat bagi Ayah dan Ibumu... Kau lahir ke dunia ini, di samping Ibu dan Ayah yang berada di dalam bilik yang sama. Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan Ibu dan Ayah ketika itu. Masakan tidak, 9 bulan menanti dengan penuh debaran, akhirnya kau keluar dengan tangisan sang bayi... Percayalah, jika dihimpunkan seribu ibu dan ayah menceritakan kegembiraan mereka sekalipun, tidak dapat ia menggambarkan secara mutlak bagaimana gembiranya perasaan ibu dan ayah pada ketika itu. Di saat itu juga, Ayah azankan pada telingamu menjadikan suara Ayah ini yang pertama didengarimu di dunia ini... Disusuli oleh ibumu yang mendakap mu di atas dadanya. 👨‍👩‍👧👨‍👩‍👧👨‍👩‍👧

 Masa berlalu sangat pantas. 15 tahun berlalu tanpa satu saatpun ia menunggu kita. Sungguh melihatmu membesar merupakan salah satu nikmat yang tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Perasaan kasih dan sayang tidak pernah pudar dengan berlalunya masa. Bahkan bertambah seiringan dengan umurmu. 👨‍👧👩‍👧

 Tidak pernah lidah ini kering mendoakanmu.... Dan tidak sesekali kami putus asa dalam membentukmu menjadi insan yang terbaik untuk agamaNya... Pon begitu kami tahu, ada ketika kami juga melakukan kesilapan... Maafkan kami kiranya terdapat kekurangan dalam kami membesar dan mendidikmu... Percayalah kami hanyalah menginginkan yang terbaik buatmu...👩‍🎓👩‍🎓👩‍🎓

 Selamat hari lahir anakku Sharifah Elya Natasha.... ❣❣❣


Monday, May 25, 2020

Topeng kebahagiaan....

Kadang-kadang, kita terpaksa tersenyum dalam keadaan hati terluka... Hanya Tuhan sahaja mengerti betapa peritnya hati ini. Aku memakai topeng kebahagiaan sedangkan hati ini retak seribu. Tidak mungkin aku akan pulih selamanya. Tetapi, demi kebahagiaan orang lain, aku sanggup berenang di dalam lautan api dan melihat mereka menikmati mahligai impian.. Inilah pengorbanan yang terpaksa aku lakukan.. Sesungguhnya pengorbanan ini sangatlah berat untukku tetapi, apalah gunanya cinta jika kita mengheret kebahagiaan mereka ke kancah kedukaan... 

Sunday, May 24, 2020

Berlalu sudah bulan Ramadhan. Memberi ruang Syawal untuk tiba. Semoga 'amal yang dilakukan di terima Allah dan dosa diampunkanNya. Harapan agar kita dapat mengecapi Ramadhan yang akan datang pula. Sungguh usia kita hanyalah Allah yang Maha Mengetahui.

1 Syawal hari yang perlu diperbesarkan. Hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa. Hari di mana umat bersyukur. Ia bukan hari bersedih.

"...dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur" [2:185]

Takbir bergema memecah sepi,
Syukur diucap membasahi lidah.
Ramadhan telah berlalu pergi,
Syawal tiba di sambut meriah.

Ibu melaram tudung ariani,
Ayah gigih mengikat sampin.
Selamat hari raya 'Eid alFitri,
Maaf dipohon zahir dan batin.


Dari kami sekeluarga,
Edlee, Aishah, Tasha, Ammar & Khyra




Sabarlah duhai hati...

Sabarlah duhai hati... Kau harus menerima hakikat bahawa tidak semua yang kau ingini akan kau dapat... Kau juga perlu sedar kini, bahawa kau tidak akan dapat melarikan diri dari terlukanya hati engkau... Kau harus terus kuat menempuh hari-hari mendatang kerana kau tidak akan pulih buat selamanya... Tiada apa yang mampu kau buat untuk mengubahnya melainkan kau harungi hari-hari kau dengan kesabaran semata-mata.. Sabarlah hati.. Hidup ini tidak semuanya indah...

Thursday, May 21, 2020

Syukur ya Rabb...

"(Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu jangan berduka-cita terhadap apa yang luput dari kamu." (Surah Al-Hadid: 23)
Oleh sebab itu, jangan tenggelam di dalam penyesalan, jangan hancurkan diri anda dengan tangisan dan kedukaan, dan jangan putus di tengah jalan oleh gertakan dan kebencian orang lain - Dr. 'Aid al-Qarni


Hari ini telah masuk 29 Ramadhan. Bulan yang mulia kini hampir melabuhkan tirainya. Entahkan akan bertemu atau tidak Ramadhan yang akan datang, hanya Allah sahaja yang tahu. Diharapkan segala amal ibadah yang dilakukan di terima oleh Allah Azza wa Jalla. Dan semoga segala yang dipohon, dimakbulkan olehNya...

Secara keseluruhannya, meski aku melalui hari-hari yang sangat menyakitkan, aku bersyukur kerana dapat melalui bulan Ramadhan ini. Bahkan tidak keterlaluan jika aku katakan, Ramadhan kali ini lebih baik dari 10 tahun Ramadhan yang sebelum ini. Di tambah pula PKP yang membolehkan aku bekerja di rumah sepenuh masa, memudahkan aku merancang masa sesuai dengan urusan ibadah seperti qiyamulail dan lain-lain. Sesungguhnya perancangan Allah sangat halus. Dalam pada ujian yang kita harungi, di selit pelbagai hikmah disebaliknya...

Bersyukur dan bersangka-baiklah kepadaNya sentiasa kerana mustahil Allah merancangkan keburukan untuk hambaNya. Sungguh rahmat Allah itu Maha Luas.

Datang dan pergi itu satu ketetapan...


Ujian kesetiaan...

Kadang-kadang hadir di dalam diri, mempersoalkan mengapa kita diperlakukan sedemikian rupa. Tidakkah kita sentiasa bersamanya, di kala susah dan senang. Bila kita melihat kembali perjalanan hidup mereka, hampir setiap memori itu pasti kita ada peranannya. Bukannya ingin mengungkit tetapi sekadar terfikir bagaimana insan tetap boleh berubah meski sebesar manapun pengorbanan telah dilakukan untuknya. Apa lagi hadir insan lain yang berjaya mencuri hatinya. Itulah ujian kesetiaan...

Wednesday, May 20, 2020

Pengorbanan yang tiada pilihannya...

Tidak sedikit masa yang digunakan untuk aku melawan peritnya hati ini. Aku menempuh hari2ku dengan penuh kedukaan. Setiapnya ku tempuhi sendiri. Kupendamkan segalanya. Meskipun ada ketika aku merasakan seperti ingin melepaskan segala-galanya, namun aku kuatkan jua diriku ini. Kerap juga aku jatuh sakit, apa lagi membuatkan tubuhku tidak bermaya.

"Cukup lah. Dah lama pendam smpi dah tak thn dah ! Bosan !!!"

Kata-kata ini membuatkan pita mindaku laju berputar memainkan segala kata-kata yang pernah aku terima sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Aku telan segala kata-kata pedih, hanya kerana harapan yang aku gigit. Tidak cukup dengan itu, aku disajikan pula dengan perkara yang sangat aku benci dan melukakan hati. Dirasakan hati ini dicarik-carik tanpa belas kasihan. Ditambah pula dengan pelbagai helah dan alasan yang diberikan, membuatkanku sendiri tertanya-tanya, mengapa aku masih memaksa diri untuk mempercayainya.

Apapun, sentiasa aku memujuk diri ini.. Biarlah aku diperlakukan bagaimana sekalipun, asalkan aku tidak memperlakukan perkara yang sama kepada orang lain. Di samping itu, aku tidak sanggup melihat orang lain tidak bahagia kerana diriku. Biarlah aku korbankan diri ini deminya... Insan yang amat aku hargai...