Wednesday, July 20, 2016

PENGALAMAN GURU TERBAIK

Aku merenung rak buku koleksi peribadiku. Dalam aku melihatnya, mataku terhenti pada sebuah buku bertajuk ‘Pengalaman Guru yang Terbaik’ karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni. Tidak perlulah aku pekenalkan lagi penulisnya kerana aku baru sahaja memperkenalkan peribadi ulama’ yang hebat ini secara umum pada postingku yang sebelum ini.

Pengalaman guru yang terbaik…. Ya, aku sememangnya bersetuju 100% dengan kata-kata ini. Dan aku rasa anda juga demikian. Samada ia pengalaman manis maupun pahit, ia mampu menjadikan kita insan yang lebih baik di masa selepasnya….

Aku, sepertimana manusia yang lain telah melalui pelbagai frasa hidup. Ada manis, gembira, takut dan tidak kurang juga sedih. Walaupun begitu, aku tau bahawa pengalamanku masih kurang. Usiaku masih dikategorikan muda, dan masih banyak yang perlu ku pelajari…..

Apa yang ingin aku ketengahkan di sini adalah, kebanyakan kita tidak sedar bahawa pengalaman yang kita lalui boleh menjadikan kita seorang yang lebih matang dan seterusnya berjaya dengan cemerlang di masa hadapan.Sehinggakan ada dikalangan manusia ini, berputus asa dalam hidup mereka. Dan inilah salah satu sebab gejala bunuh diri berlaku.

Bagi mereka yang sedar akan peri pentingnya pengalaman hidup, mereka mampu mengubah hidup mereka. Mereka mampu mencapai kejayaan. Bahkan kejayaan yang mampu di capai itu, mungkin tidak pernah kita bayangi sebelum ini. Ia akan menjadi lebih baik, jika perjalanan kita ini, ditetapkan satu misi dan visi yang kemudiannya kita kemudi ke arah itu….

Contohnya, kebanyakan usahawan yang berjaya kini pernah melalui kejatuhan sehinggakan ada di antara mereka muflis. Namun, kerana mereka mempunyai misi dan visi, mereka tidak mengalah dengannya. Tetapi mereka semakin bersemangat pula dalam mencapai cita-cita mereka…

Dan contoh yang terbaik, adalah perjuangan Nabi yang kita cintai iaitu Nabi Muhammad saw dan juga para sahabatnya ra. Kalau kita membaca sirah, kita akan dapati perjuangan Nabi kita ini ada pasang dan ada juga surutnya. Misalnya, peperangan yang dihadapi umat Islam, ada yang menang dan ada juga yang kalah. Sememangnya itulah fitrah perjuangan manusia. Inilah salah satu fiqh sirah yang boleh kita terapkan dalam kehidupan kita.

Akhir kata, jadikanlah pengalaman itu sebagai guru dalam membentuk perjalanan hidup yang lebih baik. Maaf, aku tidak setuju dengan pepatah, ‘ buang yang keruh, ambil yang jernih’…Pada aku, gunakanlah yang keruh maupun yang jernih sebagai satu aset dalam membawa diri kita ke tahap yang lebih baik.

Allahu ‘alam